Sunday, February 6, 2011

ALLAH ITU MAHA ESA! TIDAK MENJELMA SEBAGAI MANUSIA

a

Saya mengambil masa yang agak lama untuk mengulas isu ini. Betul, ia sekadar isu penggunaan nama 'Allah' oleh penganut Kristian yang boleh dianggap kecil, tetapi ia sebenarnya membawa kesan yang besar dan pelbagai.

Pendapat demi pendapat diberikan, ditulis, dibahaskan dan menjadi polemik. Bantahan dibuat oleh masyarakat Islam. Ada yang berucap berapi-api seolah-olah dialah pembela Allah dan pembela agama Allah selama ini, sedangkan hakikatnya, terlalu banyak perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran disimpan elok-elok sahaja dalam mashaf al-Quran, dimuliakan, tetapi tidak dilaksanakan dalam kehidupan. Perundangan syariah diguna pakai sebahagian dan dipekasamkan sebahagian lagi. Perjuangan pula tidak jelas meletakkan Islam sebagai dasar.

Di suatu pihak yang lain, ada juga umat Islam yang memandang isu ini dari sisi dakwah. Mereka berpandangan tiada salahnya orang bukan Islam menggunakan nama Allah sebagai tuhan mereka, sementelahan yang menggunakannya pula penganut agama samawi (langit). Agama samawi iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani (Kristian) berasal daripada Allah yang Maha Esa. Bagaimanapun, umat Yahudi dan Kristian menyeleweng dari jalan yang benar. Yahudi menganggap Uzair sebagai anak Tuhan manakala Nasrani menganggap Isa sebagai anak Tuhan. Kristian percaya kepada konsep triniti iaitu tuhan tiga dalam satu dan satu dalam tiga - Allah, Isa dan roh yang suci (Jibril?). Walau apa pun hujahnya, kedua-dua agama ini telah sesat kerana menyekutukan Allah.

Mengambil kira pandangan kedua-dua pihak, yang menentang dan juga menyokong penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian itu, mari kita cuba halusi perkara ini.

aIsu ini bermula apabila KDN memberi kebenaran kepada akhbar tabloid The Herald: Catholic Weekly untuk diterbitkan pada tahun 2009 dengan syarat penulisannya tidak menggunakan kalimah Allah dan pengedarannya dihadkan kepada penganut Kristian sahaja.

Penerbit The Herald: Catholic Weekly mencabar arahan KDN tersebut di mahkamah. Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan arahan KDN terbatal (null and void) dan turut membenarkan kalimah Allah digunakan oleh The Herald, dan kalimah Allah tidak juga eksklusif untuk Islam sahaja. Keputusan ini dirayu dan pelaksanaannya ditangguhkan.

Antara ulasan yang menarik perhatian saya dalam isu ini ialah pendapat yang dikemukakan oleh bekas Profesor Madya Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya, Ustaz Alias Othman. Menurutnya, nama Allah memang telah digunakan lama sebelum kelahiran Nabi Muhammad. Bagaimanapun, penggunaannya sebelum dan selepas kedatangan Islam tidak menimbulkan masalah kepada orang-orang Arab. Budaya setempatnya begitu. Tetapi di Malaysia, nama Allah telah digunakan oleh orang Islam untuk merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa. Sebarang percubaan untuk mengaitkannya dengan fahaman ketuhanan lain, sebagaimana fahaman Kristian misalnya, hanya akan menimbulkan kemudaratan kepada kedua-dua pihak. Jadi, lebih baiklah penggunaannya dihalang kerana menolak yang mudarat itu lebih utama.

Benarkah penganut Kristian merujuk kalimah Allah sebagai nama tuhan mereka? Pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Khadijah Mohd Hambali, dalam satu tulisannya mengatakan bahawa jika ajukan soalan ini kepada sesiapa sahaja dalam kalangan penganut Kristian termasuk para paderi, nescaya pelbagai jawapan akan terpacul dari mulut mereka. Sebahagian daripada mereka akan merujuk kepada Jesus atau Yesus (Indonesia) sebagai tuhan, sebahagian lagi merujuk kepada Jeremiah manakala segolongan lagi merujuk kepada Allah. Terdapat juga penganut Kristian yang merujuk kepada Yahweh, Yehuwa, Yahova atau Jehovah. Ini kerana tidak terdapat satu pun istilah yang menepati dan merujuk kepada tuhan dalam Bible penganut Kristian. Bible mereka yang terlalu kerap disunting tidak memaparkan nama tuhan yang wajar disebut dalam ritual keagamaan Kristian.

Justeru, untuk mengelakkan kesukaran dan kekeliruan, penganut Kristian mengambil keputusan untuk meminjam nama Tuhan yang sering digunakan oleh masyarakat setempat. Sebagai contoh yang diperakui sendiri oleh para pemimpin Kristian Malaysia, antaranya Joseph Masilamany yang mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan 'Allah' untuk merujuk kepada Tuhan dalam kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam.”

Ada udang di sebalik batu? Kelihatannya begitulah. Lagipun yang sibuk-sibuk hendak digunakan perkataan 'Allah' itu adalah penulisan-penulisan mereka dalam bahasa Melayu. Penulisan dalam bahasa Inggeris masih mengekalkan kata 'God' dan 'Lord'.

Benarkaah Allah di hati mereka? Ketika kita hangat membahaskan isu ini di Malaysia, tiba-tiba pada Selasa, 12 Januari yang lepas, dunia dikejutkan dengan gempa bumi besar bermagnitud 7.0 di Haiti yang diberitakan telah mengorbankan lebih 100,000 nyawa. Pada detik-detik awal bumi Port-au-Prince, ibu kota Haiti bergegar, penduduk yang majoritinya beragama Kristian lari bertempiaran sambil menjerit "Jesus, Jesus!" Jeritan ini spontan, dalam keadaan kelam kabut dan di bawah sedar. Yang keluar dari mulut mereka adalah nama 'Jesus' bukannya 'Allah'. Kita faham nama Jesus paling kerap dirujuk oleh penganut Kristian sebagai tuhan, sebab itulah Jesus yang diseru. Tetapi apabila mereka berkeras hendak menggunakan nama Allah juga, kita tidak boleh mengelak daripada menghidu bahawa mereka memang punya agenda tersembunyi.

Bagaimanapun, janganlah kita terlupa bahawa isu ini membuka peluang yang besar kepada umat Islam untuk lebih aktif berdakwah kepada mereka yang belum Islam. Kalau mereka mengatakan bahawa mereka pun percayakan Allah, kita katakan bahawa terdapat perbezaan yang sangat besar antara percaya dengan beriman kepada Allah, bahawa mereka mesti kembali kepada jalan asal yang benar iaitu Allah Maha Esa, tidak beranak dan tidak pula diberanakkan. Inilah peluang kita untuk menerangkan kepada mereka tentang Allah dan Islam. Jangan risau kita tidak mampu melakukan dakwah ini. Islam adalah agama yang benar dan Islam pasti menang dengan bantuan Allah. Yang penting bagi umat Islam adalah mengatur strategi berkesan, berusaha, berdoa dan bergerak dalam satu saf.

Namun, dalam masa kita berusaha untuk berdakwah kepada golongan ini, jangan lupa bahawa mereka juga sentiasa berusaha tanpa henti untuk menyesatkan umat Islam menerusi dakyah mereka. Dulu saya juga berfikir apa salahnya mereka menggunakan nama Allah? Bukankah Allah Tuhan semua makhluk? Apa hak kita untuk menghalang mereka? Kenapa kita seolah-olah tidak membenarkan mereka mengakui Allah, bahkan seolah-olah mahu mereka kekal dalam kesesatan mereka? Begitulah soalan-soalan yang bermain di fikiran, sampailah satu hari saya terbaca e-mel seorang sahabat yang pernah tinggal dan belajar di sebuah negara jiran selama lebih lima tahun, menceritakan beberapa peristiwa yang lucu tetapi sangat serius.

Pengalaman ini beliau kongsikan supaya orang ramai boleh mengetahui dan membayangkan implikasinya jika penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam dibiarkan. Suatu hari sahabat ini menonton sebuah program ceramah di televisyen. Beliau sangkakan ia ceramah agama biasa kerana dengan semangat yang berkobar-kobar, si penceramah berkata, "Kita semua sudah berdosa! Allah Maha Kuasa! Allah Maha Penyayang! Kembalilah kita semua ke jalan Allah!" Di dalam hati, sahabat tadi mengucap syukur, alhamdulillah... bagus. Tiba-tiba penceramah menyambung "Kembalilah kepada Yesus Kristus dan Bunda Maryam!" Laa... ceramah Kristian rupanya.

Dalam surat khabar, biasanya ada ruangan untuk mengucapkan kata-kata takziah dan doa untuk orang yang telah meninggal dunia. Disebutkan, "Telah Kembali ke Rahmat Allah, Sdr ... pada ... Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah" Tetapi apabila diperhatikan, nama-nama mereka yang mati itu adalah Eduardus, Kristus, Paulus dan sebagainya (nama orang Kristian). Ada pula gambar salib diikuti tulisan kecil "ash to ash, dust to dust, fade to black".

Suatu hari sewaktu sedang bermusafir dan mencari masjid untuk solat, beliau ternampak sebuah papan tanda yang memaparkan kalimah Allah dalam bahasa Arab. Di sisinya ada sebuah sepanduk berbunyi, "Ayuh, kerjakan kewajipan kita kepada Allah dan agamanya!" Apabila beliau menyusuri jalan mengikut arah yang ditunjukkan, beliau terkejut melihat bangunan yang dimaksudkan mempunyai patung Jesus disalib. Gereja Kristian rupanya!

aJika berhasrat hendak membeli buku agama juga, kita harus berhati-hati. Sahabat tadi pernah membelek sebuah buku yang tajuknya lebih kurang begini, "Memantapkan Iman Anda kepada Allah". Apabila beliau menyelak helaian demi helaian, beliau mula keliru kerana ayat-ayat dan hadisnya tidak seperti biasa. Direnung-renung balik, rupa-rupanya ayat-ayat tersebut dikutip dari Bible! Ah, buku dakwah Kristian rupanya!

Seperkara lagi, di tengah-tengah sebuah bandar, terdapat sebuah geraja yang dinamakan "Rumah Allah". Ada pula gereja yang mempamerkan kata-kata dengan tulisan besar, "ALLAH ITU KASIH". Dan kita percaya banyak lagi 'benda' yang boleh menimbulkan kekeliruan yang menggunakan nama Allah di sana. Bagaimana kalau perkara seperti ini berlaku di Malaysia? Apa bentengnya untuk anak-anak kita dan untuk orang dewasa juga, dalam keadaan iman kita senipis kulit bawang?

Kita mesti faham bahawa Tuhan untuk semua manusia baik Islam, Kristian, Yahudi, Buddha mahupun Hindu, bahkan untuk semua makhluk sememangnya Allah, tidak ada yang lain. Allah yang menjadikan alam ini.Tetapi apabila menyentuh soal iman, keimanan orang Islam terhadap Allah berbeza dengan orang Kristian atau Yahudi. Mereka tidak ada iman pun terhadap Allah. Kalau mereka beriman, sudah lama mereka menjadi Muslim.Orang Islam tidak menyembah Allah seperti mana orang Kristian kononnya mempertuhankan Allah, dan begitu pula yang sebaliknya. Sebab itu Allah menyuruh kita menegaskan kepada orang-orang kafir, "Untuk kamu agama kamu dan untukku agamaku."

aSaya sangat menyokong usaha sebuah stesen radio Islam akhir-akhir ini yang setiap hari berulang kali menyiarkan bacaan ayat-ayat al-Quran surah al-Ikhlas dan al-Kafirun serta terjemahannya. Surah-surah ini menyegarkan kembali pegangan kita bahawa Allah itu Maha Esa, tiada dua atau tiganya, Maha Suci Dia daripada beranak atau diperanakkan dan Allah selama-lamanya tidak boleh disamakan dengan apa jua makhluk.

Walau apa pun perkembangannya, sikap umat Islam dalam menghadapi kemelut ini mestilah betul. Jangan membantah dan berdemonstrasi berdasarkan emosi semata-mata. Kita menentang penggunaan nama Allah oleh bukan Islam ini kerana bimbang nama yang mulia itu akan diperhina dan disekutukan sewenang-wenangnya. Tetapi kita juga menegaskan bahawa umat Islam bukan sekadar mempertahankan nama Allah, tetapi mempertahankan hak agama dan syariat Allah agar ia dilaksanakan sepenuhnya di atas muka bumi sebagaimana yang dikehendaki oleh pemilik nama Allah itu!

No comments: