Thursday, January 20, 2011

JUDI ITU HARAM BAGI UMAT ISLAM

Allah Ta’ala berfirman, mafhumnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan tilikan nasib menggunakan anak panah hanyalah najis (keji dan kotor) daripada perbuatan syaitan (yang menjadikannya menarik pada pandangan manusia), maka jauhilah ia agar kamu berjaya. Sebenarnyasyaitan itu hanya ingin menimbulkan permusuhan dan kebencian dalam kalangan kamu dengan sebab arak dan judi serta menghalang kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. Oleh itu, adakah kamu mahu berhenti?! [Surah al-Maidah: 90-91]

Daripada ayat di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan yang membuktikan pengharaman judi iaitu:-


[1] Allah Ta’ala meletakkan judi sebaris dengan perkara-perkara yang dipandang keji iaitu arak, pemujaan berhala dan tilikan nasib. Di antara perkara yang disenaraikan di sini, pemujaan berhala adalah perbuatan dosa yang paling besar kerana ia membawa kepada perbuatan menyekutukan Allah Ta’ala. Mensyirikkan Allah Ta’ala adalah haram. Maka judi adalah HARAM.

[2] Allah Ta’ala menyifatkan judi sebagai najis. Najis adalah perkara yang menjijikkan dan dipandang hina. Allah Ta’ala mengharamkan segala perkara yang bernajis dan menjijikkan kerana fitrah manusia sememangnya tidak suka kepada perkara-perkara sebegini. Maka judi adalah HARAM.

[3] Allah Ta’ala menyatakan bahawa judi adalah daripada amalan syaitan. Melakukan amalan syaitan bererti mengikut jejak langkah syaitan. Mengikut jejak langkah syaitan adalah dilarang kerana Allah Ta’ala berfirman, mafhumnya:

Dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana dia adalah musuh kamu yang paling nyata. [Surah al-Baqarah: 168]

Larangan membawa maksud haram. Maka judi adalah HARAM.

[4] Allah Ta’ala memerintahkan kita agar menjauhkan diri daripada judi. Menjauhkan diri daripada judi membawa maksud ‘jangan dekati judi’. Kalimah ‘jangan dekat’ ertinya ‘jangan buat’. Lafaz ‘jangan buat’ adalah salah satu lafaz yang digunakan untuk mengharamkan sesuatu perkara. Maka judi adalah HARAM.

[5] Allah Ta’ala menjanjikan bahawa jika kita menjauhkan diri daripada judi, maka kita akan beroleh kejayaan. Judi biasanya dikaitkan dengan ekonomi. Dengan erti kata lain, kalau kita meninggalkan judi, maka ekonomi kita akan berjaya. Kita dituntut untuk berusaha mencapai kejayaan sama ada dari sudut keduniaan mahupun akhirat. Malah kita diharamkan untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh mengundang kegagalan diri kita sendiri apatah lagi orang ramai. Maka judi adalah HARAM kerana ia mengundang kegagalan ekonomi.

[6] Allah Ta’ala menegaskan bahawa syaitan hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian dalam kalangan kita melalui medium judi. Permusuhan dan kebencian sesama kita umat Islam adalah ditegah. Tegahan membawa maksud haram. Disebabkan judi adalah medium yang membawa kepada permusuhan dan kebencian, maka judi adalah HARAM kerana kaedah syara’ menyebut bahawa hukum matlamat adalah hukum medium. Jika matlamat haram, maka medium untuk mencapai matlamat tersebut adalah haram juga. Judi adalah HARAM.

[7] Mengingati Allah Ta’ala dan mengerjakan sembahyang adalah perbuatan yang baik malah wajib. Segala perkara yang boleh menghalang kita daripada mengingati Allah Ta’ala dan menunaikan sembahyang adalah wajib dijauhi. Wajib dijauhi membawa maksud haram didekati. Maka judi adalah HARAM untuk didekati kerana ia menghalang kita daripada kewajipan mengingati Allah Ta’ala dan juga sembahyang.

[8] Allah Ta’ala bertanya kepada kita, “Adakah kamu mahu berhenti daripada melakukan perkara-perkara haram yang disenaraikan di atas?!” Pertanyaan yang ditimbulkan oleh Allah Ta’ala kepada kita bukanlah menuntut jawapan kerana pertanyaan itu bukan membawa maksud sebenar. Dalam bahasa Arab, pertanyaan boleh membawa maksud perintah. Cuma perintah tersebut datang dalam bentuk pertanyaan untuk menarik perhatian dan menimbulkan kesedaran. Oleh itu, Allah Ta’ala bertanya kepada kita dengan maksud Dia memerintahkan kita agar berhenti daripada judi. Perintah membawa maksud wajib. Melanggar perintah Allah Ta’ala adalah haram. Maka judi adalah HARAM kerana ia adalah perbuatan yang melanggar perintah Allah Ta’ala.

No comments: